Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Roanlad Kiandee (tengah) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alxander Nanta Linggi semasa mesyuarat bersama di Putrajaya semalam.

KUALA LUMPUR – Walaupun harga ayam ketika ini kembali terkawal namun dua kementerian terlibat bersetuju usaha untuk menstabilkan harga ayam ini secara sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan.

Ia perlu diteruskan supaya isu harga ayam dapat di atasi secara holistik.

Itu menurut kenyataan bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Sebelum itu, kedua-dua kementerian juga memantau rapi isu kenaikan harga ayam standard yang berlaku sejak awal September 2021 sehingga harga di peringkat runcit melebihi RM10 sekilogram di beberapa kawasan di seluruh negara.

Berdasarkan data oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 13 September lalu, sebanyak 98 premis runcit (14.58%) yang diperiksa telah menjual ayam standard pada harga melebihi RM10 sekilogram.

Berikutan itu, KPDNHEP telah melaksanakan pendekatan baharu dengan mengadakan sesi libat urus secara terus dengan peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam.

“Usaha ini telah membuahkan hasil apabila data menunjukkan trend penurunan harga ayam berbanding pada awal September yang lalu dan trend ini dijangka akan terus menunjukkan penurunan sekaligus dapat menstabilkan harga ayam di pasaran,” kata kenyataan hari ini.

Setakat 20 September lalu, hanya 10 premis (1.74%) masih menjual ayam pada harga melebihi RM10 sekilogram.

Berikutan itu, KPDNHEP dan MAFI semalam telah mengadakan mesyuarat bersama bagi meneliti beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan dalam menangani isu harga ayam.

Mesyuarat dihadiri oleh Alexander dan timbalannya, Datuk Rosol
Wahid, Ronald dan timbalan menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah serta pegawai-pegawai tertinggi kedua-dua kementerian.

Mesyuarat dimaklumkan, melalui sesi libat urus yang telah dilakukan oleh KPDNHEP dan MAFI bersama pihak industri di seluruh negara, pihak industri bersetuju untuk menurunkan lagi harga ayam di peringkat pengeluar dan ladang supaya harga di peringkat borong dan runcit juga dapat distabilkan sekaligus membantu pengguna untuk menikmati harga ayam pada harga yang berpatutan.

Hasil daripada perbincangan yang diadakan semalam, kedua-dua Kementerian bersetuju untuk meneliti beberapa cadangan daripada pihak industri berkaitan usaha untuk menstabilkan harga ayam, antaranya pemberian kemudahan pinjaman mudah (soft-loan) bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi dan menangani isu peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport.

Selain daripada itu, kerajaan turut mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu sebagai salah satu usaha menangani isu kenaikan harga ayam selain cadangan untuk melaksanakan sistem permohonan permit bagi penjualan sekiranya usaha Kerajaan untuk menanganinya tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di semua peringkat.

“Akhir sekali, pihak KPDNHEP akan meneruskan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut terutama di dalam situasi semasa ketika ini, tindakan tegas akan diambil.

Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 sekiranya suatu perbadanan/syarikat dan bagi bukan perbadanan/ individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette