Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Mohd Famey Yusoff.

JOHOR BAHRU- Jabatan Alam Sekitar (JAS ) Johor masih belum boleh mendedahkan hasil analisis toksik pembuangan sisa kimia terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas minggu lalu walaupun sudah menerima keputusan daripada Jabatan Kimia.

Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pendedahan hasil itu akan menjejaskan integriti kertas siasatan kes itu.

“JAS Johor sedang menyiapkan kertas siasatan kes berkenaan bagi membuat pendakwaan kepada suspek yang disyaki dalam masa terdekat.

“Laporan telah diterima tetapi kita masih tidak boleh dedahkan laporan berkenaan.

“Saya akan maklumkan sekiranya mendapat kebenaran daripada penasihat undang-undang jabatan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi MalaysiaGazette bagi mendapatkan perkembangan terbaru kes pembuangan sisa kima terjadual berbahaya di Kampung Baru Sri Aman minggu lalu.

Mohd Famey dalam kenyataan medianya berkata, tiga bahan kimia utama telah dikesan berada di udara dan anak sungai di Kampung Baru Sri Aman itu.

Namun, bahan-bahan kimia itu tidak boleh didedahkan buat masa ini sebelum elemen sebenar sisa kimia itu disahkan Jabatan Kimia.

Hasil cerapan JAS minggu lalu mendapati ada tiga jenis bahan kimia yang utama berada dalam udara kampung ini.

Namun, ia semakin berkurangan pada tahap antara 0.6 hingga 1 ppm selepas hujan pada malam Selasa, minggu lalu.- MalaysiaGazette