Rashid Khan dan Mohammad Nabi sedih kerana Taliban melarang siaran IPL 2021 di Afghanistan. foto: Inside Sport

KABUL – Penyiaran Liga Perdana India (IPL) telah dilarang di Afghanistan oleh Taliban.

IPL itu disertai oleh pemain terkenal kriket Afghanistan, Rashid Khan, Mohammad Nabi dan Mujeeb Rahman namun peminat dari negara mereka tidak dapat menontonnya.

Bekas pengurus media Lembaga Kriket Afghanistan, M Ibrahim Momand dalam ciapan di Twitter tidak menolak kemungkinan kandungan anti-Islam seperti persembahan tarian wanita dan kehadiran wanita tanpa bertudung di stadium menjadi punca siaran IPL disekat di negara ini.

Minggu lalu, Ketua Sukan Afghanistan memberi jaminan 400 sukan akan dibenarkan, namun enggan mengesahkan keterlibatan wanita dalam salah satu sukan tersebut.

Semasa pemerintahan Taliban dahulu, wanita dilarang bersukan sementara penyertaan kaum lelaki juga dikawal ketat.

Malah, wanita turut dilarang bekerja dan mendapat pendidikan.

Penguasaan pemerintahan Taliban sejak bulan lalu menggusarkan aktivis hak wanita di Afghanistan kerana bimbang dasar keras yang dahulu dikembalikan semula. – The Indian Express