Lebuhraya Pan Borneo masih dalam pembinaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 19 JANUARI 2020. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang penjimatan daripada keputusan pertukaran kaedah pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang dibuat pada September 2019.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu Dewan Rakyat,  pihaknya tidak menolak kemungkinan  percaturan untuk beralih daripada kaedah pelaksanaan secara rakan pelaksana projek (PDP) kepada secara konvensional mengundang tambahan kos.

“Apabila PDP ditamatkan, sama ada berlaku penjimatan atau tidak, kita hanya akan tahu apabila projek ini disiapkan nanti dan akaun ditutup, baru kita tahu ada penjimatan atau tidak.

“Sekarang ini, kita tidak dapat memuktamadkan, ada penjimatan atau tidak tapi saya boleh katakan sekarang ini, kalau kita ambil kira keseluruhannya, tidak banyak pun penjimatan.

“Mungkin tiada penjimatan disebabkan pertukaran kaedah itu, ada kos-kos tambahan yang perlu kita lunaskan, termasuk kepada PDP yang terpaksa dibayar pampasan dan banyak lagi perkara lain yang perlu kita muktamadkan masa ini,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Titah Diraja bagi Kementerian Kerja Raya, di Dewan Rakyat hari ini.

Memperincikan lanjut, Fadillah berkata, pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo, Sabah Fasa Satu sehingga kini menyaksikan 12 pakej kerja sedang giat dilakukan menerusi pelantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan.

Malah katanya, status kemajuan keseluruhan sehingga Julai lalu adalah 56 peratus, manakala tiga pakej kerja baharu dijangka dimuktamadkan pada tahun ini.

“Satu pakej kerja baharu membabitkan laluan dari Serusup ke Pituru pula diperuntukkan dalam pelan pelaksanaan pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan anggaran kos RM500 juta, menjadikan keseluruhan 16 pakej kerja yang komited untuk dilaksanakan buat masa kini.

“Kementerian mengambil maklum mengenai keperluan mempercepatkan pelaksanaan baki 19 pakej kerja bagi melengkapkan keseluruhan fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

“Kita menerima cadangan oleh syarikat yang berminat untuk meneruskan pelaksanaan bagi fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sabah secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan cadangan syarikat daripada kerajaan Sabah,” tambahnya.

Untuk rekod, bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian pada 27 September 2019 mengumumkan kerajaan secara rasmi mengeluarkan surat penamatan kepada Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU), rakan pelaksana projek (PDP) projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak menerusi surat yang dikeluarkan pada 20 September 2019.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 6 Februari 2020 pula memaklumkan penamatan perjanjian PDP bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak berupaya mengurangkan kos perbelanjaan daripada RM21.857 bilion kepada RM18.846 bilion, iaitu penjimatan sebanyak RM3.1 bilion atau 14.2 peratus. – MalaysiaGazette