KUANTAN – Pemilik akaun Instagram ‘Vieshantikhan’ disiasat polis kerana dipercayai telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika bercuti di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, satu laporan polis dibuat berkaitan status yang telah dimuat naik di Instagram memaparkan gambar sedang beriadah di Rimba Valley pada 22 September lalu.
“Hasil siasatan awal, kejadian yang berlaku pada 21 September 2021 jam lebih kurang 9.55 pagi melibatkan seorang wanita warga negara tempatan berusia 35 tahun mendapati status yang tular di akaun instagram pemilik Vieshantiekani
“Dalam entri tersebut beliau menyatakan bahawa ‘tidak perlu surat di Plaza Tol Gombak masih lagi sempadan Selangor yang nak lintas negeri tetap kena ada surat ya’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu tular bekas isteri kepada pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof, Vie Shantie Khan, bercuti ke Janda Baik, Pahang bersama anak-anaknya.
Dalam entrinya di Instagram, beliau menyatakan untuk pergi ke Janda baik dari Selangor tidak memerlukan surat rentas negeri.
Menurut Zaiham, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuka kertas siasatan berikutan penularan insiden itu.
Berikutan kenyataan Vieshantikh, tambah beliau, pihak polis menafikan kenyataan mengelirukan oleh individu terbabit yang menyatakan tidak perlu surat rentas negeri dari Selangor ke Janda baik.
Katanyta, kes disiasat di bawah perkara 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 yang mana sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikompaun sebanyak RM5,000. – MalaysiaGazette