Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ekoran penubuhan jawatankuasa siasatan dalaman yang menjalankan siasatan terperinci mengenai pembatalan penyertaaan dan kemenangan jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini, pihak Kementerian Belia dan Sukan akan meneliti saranan daripada jawatankuasa itu.

Menurut menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan merangka pelan tindakan susulan ekoran insiden itu.

“KBS akan meneliti pandangan daripada jawatankuasa tersebut dan seterusnya akan merancang pelan tindakan susulan bersama-sama dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persatuan Para Olahraga Malaysia mengenai insiden yang berlaku terhadap Ziyad.

“Ia untuk memohon agar sesi pendengaran khas pihak Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) terhadap rayuan yang telah dikemukakan sebelum ini,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat petang tadi.

Ahmad Faizal turut berkata, KBS juga sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk membawa isu terbabit ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya gagal meyakinkan IPC dan WPA.

Selain itu katanya, pihak kementerian juga akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) penyertaan atlet ke temasya sukan antarabangsa terutama melibatkan atlet-atlet paralimpik agar perkara seperti ini tidak berulang kembali.

Pada 3 September lalu, KBS bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman berkaitan pembatalan penyertaan dan kemenangan Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2022.

Ahmad Faizal Azumu berkata, jawatankuasa tersebut akan diselia oleh Majlis Sukan Negara dengan penglibatan keanggotaan bebas.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Borhan Dolah.

Kemenangan Ziyad dibatalkan selepas dia serta dua lagi peserta lain dari Ecuador dan Australia difahamkan menerima protes daripada kem Ukraine kerana dikatakan lambat memasuki ‘call room’ atau bilik persediaan atlet sebelum turun beraksi. – MalaysiaGazette