Datuk Dr Noor Azmi Ghazali Omicron Covid-19 variant VOC
Dr. Noor Azmi Ghazali

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 (PICK) Remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tiada remaja akan keciciran dalam PICK Remaja kerana pihaknya mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi.

“Saya ingatkan kepada ibu bapa, jangan berlari ke PPD (Pejabat Pendidikan Daerah). Tarikh dan masa janji temu akan diberi secepat mungkin,” kata Azmi pada sidang media, semalam.

Setakat 21 September lalu, seramai 410,489 remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Bagi pelajar sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk murid Orang Kurang Upaya (OKU) akan diberi janji temu menerusi MySejahtera.

Manakala, remaja tidak bersekolah dibenarkan terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menjalankan PICK Remaja tanpa sebarang janji temu.

Menurut Azmi, remaja OKU di sekolah harian dengan ketidakupayaan pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran akan dipanggil janji temu mengikut penggiliran sekolah di PPV terpilih.

Tambahnya, remaja OKU dengan ketidakupayaan masalah tingkah laku diberikan vaksin di hospital atau klinik kesihatan secara janji temu.

Bagi pelajar sekolah antarabangsa dan swasta pula akan menerima di PPV sekolah secara berjadual atau menerusi program jangkau luar KKM dan klinik swasta terpilih.

KKM meletakkan sasaran untuk semua remaja lengkap vaksinasi selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini. – MalaysiaGazette