Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Lebih 9,000 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah itu, sejumlah 5,260 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada Mac tahun lalu sehingga Ogos 2021.

“Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, jumlah kes keganasan rumah tangga adalah 4,905 kes.

“Bermula dari PKP iaitu Mac 2020 hingga Ogos 2020, kes keganasan telah dicatatkan adalah 4,110 kes.

“Dari Januari 2021 hingga Ogos 2021 (sebanyak) 4,905 (kes) dan ini berjumlah 9,015 kes yang didaftarkan bermula Mac 2020 hingga Ogos 2021,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Rina memberitahu, jumlah kes tahun bagi 2020 menurun lebih 300 kes berbanding tahun 2019.

Untuk rekod, sejumlah 5,260 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada 2020 dan 5,657 kes pada 2019. – MalaysiaGazette