Jacinda Ardern. foto the Guardian

WELLINGTON –  Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata, negara itu menyasarkan kadar vaksinasi sebanyak 90 peratus sebelum menamatkan sekatan pergerakan.

New Zealand berjaya menghapuskan Covid-19 tahun lepas dan kekal bebas daripada jangkitan virus itu sehinggalah penularan besar-besaran berlaku akibat varian Delta Ogos lalu menyebabkan sekatan pergerakan di seluruh negara dilaksanakan, lapor Reuters.

Menurut Ardern, dengan Auckland yang merupakan bandar terbesar di negara itu masih dikenakan sekatan pergerakan manakala kes baharu masih dilaporkan setiap hari, hanya kadar vaksinasi boleh menggantikan sekatan pergerakan sebagai kaedah utama untuk membendung virus Covid-19.

“Jika kadar vaksinasi sudah cukup tinggi, maka kita boleh menamatkan sekatan pergerakan,” katanya.

Menurut Ardern, kadar vaksinasi tertinggi akan memberikan lebih banyak kebebasan.

Ketika ini hampir 40 peratus populasi dewasa di New Zealand telah lengkap divaksin manakala 75 peratus telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.- Agensi