Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan agar sensitif dengan tidak berkompromi dalam isu judi kerana aktiviti itu jelas mengundang pelbagai masalah sosial.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pihaknya menyokong pandangan Ketua Pemuda Pas, Senator Ir. Khairil Nizam Khiruddin apabila membantah pelaksanaan cabutan khas judi yang ditingkatkan daripada lapan kali setahun pada tahun lepas kepada 22 kali setahun bermula tahun ini.

Katanya, majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian merupakan golongan B40 dan mereka mencuba nasib dengan harapan mendapat hadiah besar.

“Faktanya, kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2018 menetapkan cabutan khas sebanyak 22 kali setahun…kemudian jumlah ini dikurangkan kepada 11 kali pada tahun 2019 dan dikurangkan lagi kepada lapan kali pada tahun 2020.

“Seharusnya, kerajaan tidak kembali kepada cabutan 22 kali setahun ketika rakyat dan negara dilanda musibah kesihatan dan ekonomi. Harus diingat, kerajaan mengizinkan syarikat judi mengadakan tiga hari cabutan seminggu, dengan jumlah 156 hari cabutan setahun. Maka, cabutan khas ini adalah tambahan 22 hari, menjadikan jumlah cabutan setahun sebanyak 178 hari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, kerajaan boleh menjana pendapatan melalui cukai-cukai lain melibatkan perniagaan yang membina masyarakat dan bukannya melalui cukai perjudian yang mencetus masalah sosial, hasil belian nombor judi oleh rakyat sendiri.

Ujarnya, cukai hasil kepada kerajaan boleh dijana melalui cukai perniagaan dan perkhidmatan yang berkaitan Covid-19 kerana kebanyakan syarikat gergasi tersebut mendapat keuntungan berlipat kali ganda melalui penjualan sarung tangan getah, picagari dan lain-lain.

Justeru katanya, DPIM menyeru Menteri Kewangan untuk memperhalusi keputusan tersebut agar rakyat tidak membazir duit mereka untuk berjudi, sebaliknya digunakan untuk perkara-perkara yang memberi manfaat kepada mereka.

“Kita tidak mahu bantuan tunai kerajaan pada waktu pandemik ini digunakan oleh segelintir rakyat untuk berjudi.

“Dasar kerajaan perlulah menjadi cerminan hala tuju negara dan rakyat. Kenapa kita perlu ambil langkah ke belakang yang tempang?

“Perkara baik perlu diteruskan walaupun ianya datang dari pihak Pakatan Harapan. Inilah politik matang anak muda hari ini,” tambahnya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa menjawab soalan ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar di Dewan Rakyat mengesahkan kadar kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan kepada 22 kali setahun dan kebenaran itu diberikan kepada semua syarikat judi di negara ini.

Perkara itu mendapat teguran Khairil Nizam apabila menegaskan bantahan yang sentiasa menjadi pendirian pihaknya sejak dahulu sebaga mana bantahan sama pernah disuarakan sebelum ini dan tidak ada sebarang kompromi dalam isu judi. – MalaysiaGazette