Foto Facebook Sarawak United FC Official.

KUALA LUMPUR – TM Piala Malaysia kini menjadi fokus buat Sarawak United FC selepas usaha mereka untuk merangkul kejuaraan Liga Premier terkandas di penghujung saingan.

Menurut pemain sayap Sarawak United FC, S.Chanturu dia dan rakan-rakan mahu segera melupakan kekecewaan itu dengan segera memberikan fokus kepada saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 26 September ini.

Sarawak United FC bakal berada dalam Kumpulan A bersama Penang FC, Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang FC dengan perlawanan pertama akan berlangsung di Stadium Bandaraya berdepan Penang FC pada 26 September ini.

“Kami berada terbaik sejak perlawanan pertama liga dan sentiasa meraih kemenangan tetapi pada tiga perlawanan terakhir ini, kami seperti hilang fokus.

“Pemain-pemain telah mencuba sedaya upaya dengan berikan lebih 100 peratus cuma nasib jelas tidak menyebelahi kami namun apa yang penting kami telah berada di Liga Super, musim depan.

“Sarawak akan cuba berikan cabaran di TM Piala Malaysia dan saya rasa kami boleh bersaing dengan pasukan-pasukan dalam kumpulan kami yang terdiri dari semua pasukan Liga Super.

“Jika dilihat kepada kualiti pemain dalam pasukan, tahap kami sememangnya sama dengan pasukan Liga Super dan Sarawak akan cuba letakkan sasaran untuk layak sejauh mana yang boleh,” katanya.

Kegagalan meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir menjadi punca di sebalik kekecewaan Sarawak United yang terpaksa merelakan Negeri Sembilan FC bergelar juara Liga Premier 2021.

Hakikat itu dikongsikan ketua pasukan Sarawak United, Taylor Regan yang berasakan pasukannya layak dinobatkan naib juara Liga Premier setelah melepaskan kelebihan lima mata yang dimiliki ke atas Negeri Sembilan.

Dia serta rakan sepasukan sememangnya tidak gembira dengan apa yang terjadi namun dalam masa sama dia akui kejayaan ke Liga Super sebagai sesuatu yang membanggakan setelah bekerja keras sepanjang musim.

“Kami sememangnya tidak gembira kerana kami pada mulanya berada di tangga teratas dan segala-galanya cukup selesa dalam kawalan kami untuk muncul juara liga.

“Mungkin apa yang terjadi dengan pasukan pada perlawanan terakhir ada memberikan sedikit kesan tetapi saya tidak mahu berikan sebarang alasan di sebalik kegagalan kami.

“Tahniah kepada Negeri Sembilan kerana muncul juara dan secara keseluruhan, kami layak untuk berada di tempat kedua pada musim ini berbanding mereka.

“Kepada penyokong Sarawak, terima kasih di atas sokongan anda semua malah saya hargai dengan segala kata-kata penghargaan dalam beberapa hari ini, kami telah cuba sedaya upaya untuk menang dan sekarang kami akan cuba melakar sesuatu di Piala Malaysia.

“Kami sememangnya berada dalam kumpulan yang sukar kerana Penang FC menjadi antara pasukan terbaik di Liga Super sementara Kuala Lumpur punyai sebuah skuad yang berkualiti sementara Sri Pahang, pasukan yang mempunyai sejarah tersendiri dalam saingan Piala Malaysia.

“Cuma bezanya kami tidak ada tekanan berbanding di Liga Premier kerana kami dituntut mendapatkan kemenangan dalam tiap perlawanan tetapi di Piala Malaysia, kami tidak akan rasainya dan ini mungkin berikan sedikit kelegaan buat pemain untuk beraksi lebih baik, ” katanya.

Dalam perlawanan terakhir, hasrat Sarawak United untuk meraih kejuaraan berkubur setelah Negeri Sembilan menang 4-2 ke atas PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi manakala mereka sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Stadium Dato Tan Sri Hj Hassan Yunos, Larkin.

Penyerang, Uche Agba terlebih dahulu meletakkan Sarawak di hadapan pada minit ke-4 namun pemain gantian, Stuart Wilkin menyamakan kedudukan buat JDT II pada minit-84 untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Situasi itu menyebabkan Negeri Sembilan muncul juara dengan pungutan 41 mata, tiga mata mengatasi Sarawak yang berada di tangga kedua dengan 38 mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast