Seorang petugas menyusun vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca yang digunakan semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

PUTRAJAYA – Bermula 1 Oktober, jarak masa untuk dos kedua vaksin AstraZeneca akan dipendekkan kepada enam minggu berbanding sembilan minggu sebelum ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, individu yang menerima dos pertama bermula tarikh berkenaan boleh menerima suntikan dos kedua enam minggu kemudian.

“Saya ingin mengumumkan bermula 1 Oktober bagi mereka yang telah mendapat vaksin dos pertama AstraZeneca kita akan memendekkan jarak masa antara dos pertama dan dos kedua daripada sembilan minggu, kepada enam minggu. Mereka boleh menerima dos kedua selepas enam minggu,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Menyentuh isu pemberian vaksin kepada remaja, Khairy mengingatkan kepada ibu bapa supaya tidak perlu bergegas ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bersama anak kerana jadual janji temu vaksinasi remaja dibuat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan dan Pendidikan Daerah terlebih awal.

Kata Menteri Kesihatan itu, pemberian vaksinasi secara walk-in hanya dibenarkan untuk remaja yang tidak bersekolah, remaja sedang belajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau IPTS dan remaja yang bersekolah di rumah.

“Seterusnya pihak pengurusan sekolah melalui guru akan memaklumkan jadual vaksinasi mengikut giliran sekolah kepada ibu, bapa atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga mestilah membawa remaja mengikut tarikh janji temu yang ditetapkan. Kaedah vaksinasi berjadual dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya kesesakan dan kluster jangkitan Covid-19.

“Bagi murid sekolah berasrama penuh dan harian, janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera, yang mana remaja akan divaksinkan di sekolah atau PPV berdekatan tempat tinggal mereka. Tunggu sehingga janji temu diberikan di dalam MySejahtera,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan kepada semua PPV yang terlibat, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya mengikut arahan atau ketetapan yang telah diumumkan berhubung kaedah pemberian vaksin kepada remaja.

”Saya mohon supaya tidak ada arahan atau SOP yang berbeza diberikan kepada ibu bapa bagi mengelakkan kekeliruan,” tegas Khairy.

Untuk rekod, pemberian vaksinasi remaja secara berjadual dilaksanakan di 156 PPV Awam, Integrasi dan sekolah bermula semalam. – MalaysiaGazette