Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) mengumumkan kontrak penajaan syarikat sukan dari Sepanyol, Joma akan disambung sehingga musim 2023.

SFC dalam satu kenyataan berkata, jumlah penajaan bernilai RM2.1 juta setahun daripada Joma.

Ia melibatkan penajaan set jersi sepenuhnya untuk skuad Liga Super, skuad Liga Premier, skuad Piala Presiden, skuad Piala Belia, skuad futsal lelaki dan wanita termasuk set latihan.

Selain itu, Joma juga turut menaja pakaian kepada kesemua pengadil Liga FAS termasuk pakaian kasual perjalanan dan penajaan tunai kepada kelab.

“Kami amat berbangga kerana terus diberi kepercayaan untuk menjadi rakan strategik pasukan Selangor yang mempunyai sejarah kejayaan yang hebat dalam industri sukan bola sepak di negara ini.

“Kami juga percaya dengan misi dan visi DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj termasuk pengurusan kini yang dinamik, dan melihat Selangor FC kini berada di landasan yang tepat untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni di Malaysia,” kata David Wong, Pengarah Urusan Ganador Marketing Sdn. Bhd. di laman web rasmi SFC.
Syarikat itu juga pengedar tunggal jenama Joma di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Jenama Joma yang telah diasaskan pada tahun 1965 kini boleh didapati di lebih 70 negara dunia juga membekalkan jersi kepada lebih 250 pasukan seluruh dunia termasuk Swansea City, Getafe, Villarreal, Ukraine, Romania, dan banyak lagi.

Sejak Joma bersama pasukan itu, jualan jersi Home dan Away sentiasa menjadi rebutan para penyokong setia Selangor sehingga habis dijual sejak hari pertama pelancarannya.

Mereka turut melancarkan kit jersi edisi khas bagi musim 2021 yang hanya mempunyai 1936 helai sahaja.

Ketua pegawai eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon pula berkata, Selangor FC amat berterima kasih kepada pihak Joma kerana telah bersetuju untuk meneruskan kerjasama ini dengan Selangor,

Beliau yakin penyokong Gergasi Merah juga teruja dengan perkara ini”.

“Sejak tahun 2019, kelab sangat menghargai komitmen yang telah diberikan oleh Joma dan ia dapat dilihat dengan sambutan hangat yang diterima dari penyokong Gergasi Merah melalui penjualan jersi yang berjaya mencapai lebih 100,000 unit terjual dalam tiga musim lalu, serta maklumbalas positif yang disuarakan oleh pihak pengurusan dan para pemain Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette