JOHOR BAHRU – Kebenaran untuk rentas negeri dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi selepas negara mencapai 90 peratus vaksinasi populasi dewasa.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kebenaran itu dijangka dapat diberikan selepas beberapa langkah menyegerakan vaksinasi populasi dewasa diambil dalam masa terdekat.

Katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat, sekali gus mencapai sasaran 90 peratus.

Antara tindakan segera yang akan dilaksanakan ATM ialah mengatur gerak lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) di kawasan pedalaman selain memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan bagi warga ATM kepada orang awam.

“InsyaAllah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat. Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu, kita harap dapat dijayakan dalam tiga minggu ini.

“Jadi sebelum ia (rentas negeri) diumumkan, banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.

“SOP rentas negeri kita akan umumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan ia akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu depan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan menjadi kenyataan dalam beberapa minggu lagi.

Ismail Sabri berkata, setakat 22 September lalu, sebanyak 81 peratus populasi dewasa dalam negara telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi ia boleh mencapai kadar 90 peratus.

Disiplin orang ramai akan menjadi aras paling penting apabila kebenaran rentas negeri diberikan,” ujar Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast