KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 418 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan) dekat Hulu Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 10.30 malam yang membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15R, sebuah lori serta dua buah kereta jenis Perodua Alza dan Proton Iswara.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki warga tempatan terbabas dan terjatuh ke lorong tengah.

“Sebuah lori yang tidak sempat mengelak terus melanggar motosikal yang berada di lorong kiri jalan sehingga menyebabkan kedua-dua buah kenderaan terbakar.

“Tidak lama kemudian datang dua buah kereta yang tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di atas jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Arsad, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tujuan bedah siasat dan pengecaman identiti.

“Kita orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut untuk menyalurkan maklumat supaya pihak polis dapat mengambil tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette