Dr. Khor Ban Hock

KOTA KINABALU- Tidak ada bukti klinikal yang menunjukkan keberkesanan suplemen dalam mencegah dan merawat Covid-19.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Khor Ban Hock berkata, ramai yang mula mengambil suplemen kerana percaya ia boleh meningkatkan sistem imun badan mereka untuk mencegah dan merawat Covid-19.

”Sebenarnya bagi kebanyakan orang yang mengamalkan diet seimbang dan sihat, suplemen tidak diperlukan walaupun semasa pandemik Covid-19,” katanya ketika menyampaikan satu perkongsian dalam webinar bertajuk “Suplemen dan Covid-19: Adakah Anda Memerlukannya?”.

Menurut Khor, beberapa suplemen seperti vitamin D, zink dan vitamin C dilaporkan dapat mengurangkan simptom selesema biasa.

Walaupun secara amnya tidak berbahaya, namun pengambilan makanan tambahan itu secara berlebihan boleh menyebabkan kesan buruk.

Katanya pengguna yang mahu mengamalkan pengambilannya perlu membeli suplemen yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk tersebut. – MalaysiaGazette