Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia bagi Fasa 3 dan rayuan akan dikreditkan dalam akaun penerima mulai 28 September ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia bagi Fasa 3 dan rayuan akan dikreditkan dalam akaun penerima mulai 28 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran itu akan dibuat secara berperingkat dan dijangka selesai pada 30 september ini.

Kata beliau, pembayaran itu akan memanfaatkan kira-kira 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan.

“Bayaran Fasa 3 dan rayuan BPR ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, bagi Fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300.

Ini termasuk bayaran BPR tambahan bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) sebanyak RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak.

Menurut Ismail Sabri, pembayaran itu adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

“Kerajaan terus komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sentiasa terbela.

“Antara lain, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak.

“Pembayaran bantuan itu dijadual akan disalurkan pada Oktober hingga Disember ini,” katanya.

Kata beliau, penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 itu akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Keluarga Malaysia, katanya, boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette