Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
Mohd Radzi Md Jidin

LANGKAWI – Guru yang menolak vaksin COVID-19 mungkin ditukar ke tempat lain jika tindakan mereka menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid terjejas.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata demi kepentingan perkhidmatan dan keselamatan pelajar, pihaknya sedang melihat cara untuk membawa keluar guru terbabit dari sekolah yang bermasalah dan antara solusi ialah melakukan pertukaran tempat mengajar.

“Sebelum ini, guru yang tidak divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka tetapi kena hadir ke sekolah dan akan ditempatkan di tempat khas dan ada tugasan untuk mereka.

“Namun apabila kita lihat data, kita dapati di sekolah tertentu ada guru yang tidak mahu divaksin mengajar subjek yang sama, jadi macam mana nak teruskan pembelajaran dalam konteks ini?” katanya kepada pemberita ketika melawat Kolej Vokasional Langkawi hari ini.

Beliau berkata perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan dan pertukaran tempat mengajar termasuk melibatkan perpindahan antara negeri mungkin terpaksa dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Radzi berkata di peringkat awal, guru yang enggan divaksin sudah diberi nasihat dan tempoh secukupnya untuk mengambil vaksin.

“Daripada 2,500 guru yang enggan divaksin, sekarang dah tinggal sekitar 2,000 sahaja lagi yang belum divaksin… Jumlah ini nampak kecil tapi bila diselidik hingga ke setiap sekolah, ia tidak boleh dibiarkan berlarutan dan kita kena ambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata untuk tindakan lanjut, pihaknya masih menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam berhubung bentuk tindakan bersesuaian terhadap guru terbabit.

Mengulas vaksinasi remaja, Radzi berkata ketika ini, kesimpulan masih belum dapat dibuat mengenai perjalanan proses itu namun pihaknya melihat ia berjalan dengan sangat baik dan teratur.

“Program vaksinasi remaja baru bermula dan kita sedang pantau penerimaan ibu bapa… tapi setakat ini, penerimaan cukup baik dan ibu bapa bersemangat menghantar anak ambil vaksin dan kita akan terus pantau keadaan ini,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast