Kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula caj 20 sen penggunaan beg plastik yang dikenakan di pusat beli belah dan pasar raya di negeri itu.- Gambar hiasan.

KLANG – Kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula caj 20 sen penggunaan beg plastik yang dikenakan di pusat beli belah dan pasar raya di negeri itu.

Exco Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, kadar itu mungkin dinaikkan sekiranya pengguna beg plastik semakin meningkat.

“Sekarang satu beg plastik 20 sen. Kalau program ini gagal, jika kutipan itu makin bertambah bermakna makin ramai orang guna beg plastik.

“Ada kemungkinan kita tengok balik polisi caj 20 sen ini atau ia akan dinaikkan untuk menakutkan orang ramai dan tidak menggalakkan orang pakai beg plastik.

“Setiap tahun kita akan kaji semula,” katanya kepada pemberita di Taman Sri Mewah hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutupan Program Pro 500 Trees Sentosa.

Hadir sama Ahli Parlimen Kota Raja yang juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, Loy Sian juga berkata, caj 20 sen yang diperkenankan Kerajaan Negeri Selangor sejak 2014 itu menunjukkan penurunan jumlah penggunaan beg plastik.

“Kita mengharapkan dengan kutipan itu untuk tidak menggalakkan orang ramai menggunakan plastik. Dulu mereka guna lima plastik, kali ini mungkin mereka guna satu atau dua plastik sahaja.

“Kaedah ini boleh mengurangkan penggunaan plastik. Kutipan 20 sen itu akan dikurangkan dari semasa ke semasa, bukan bertambah.

“Kalau bertambah maknanya program ini akan gagal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette