PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

PORT DICKSON – Sebanyak 12 kes  penipuan melibatkan penyamaran sebagai rakan, majikan dan keluarga bagi tujuan pinjaman wang dilaporkan bermula awal tahun ini hingga 3 September lepas dengan jumlah kerugian RM58,700.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, modus operandi dalam kes tersebut menggunakan gambar profil WhatsApp yang memaparkan gambar kenalan mangsa selain suara yang digunakan seakan mirip dengan kenalan jika melibatkan urusan secara panggilan suara.

Jelasnya, mangsa turut dimaklumkan bahawa telefon kenalan telah rosak, hilang atau terlibat dalam kejadian ragut dan perlu menggunakan nombor telefon yang baharu.

“Suspek akan meminta pertolongan daripada mangsa untuk memberi pinjaman wang dan berjanji akan membayar semula dalam tempoh terdekat.  Antara alasan yang digunakan seperti membayar kepada pembekal serta pembayaran hutang ah long,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, suspek meminta mangsa memasukkan wang terus ke akaun pihak terbabit, justeru mangsa tidak akan mengesyaki apa-apa setelah melihat nama pada akaun bank tersebut adalah berbeza dengan nama kenalan mangsa berkenaan.

Katanya, mangsa hanya akan menyedari ditipu selepas gagal berhubung dengan suspek setelah transaksi wang dibuat selain mangsa turut menghubungi nombor telefon kenalan yang asal, lalu kenalannya menafikan perkara berkenaan.

“Kami menegaskan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang mengaku sebagai kenalan untuk meminjam wang menerusi panggilan atau mesej WhatsApp. Semak dahulu kesahihan identiti individu tersebut sebelum membuat apa-apa transaksi,” katanya.

Katanya, semua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama