Pengurus Operasi Federal Power, Mohd Shamsul Shahrizan Ayop menunjukan di sekitar kawasan kilang selepas ditemu ramah mengenai operasi kilang bateri solar tidak mencemarkan Alam sekitar ketika di Jenjarom, Banting. Foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2021.

KUALA LANGAT – Tiada sebarang penggunaan logam jenis plumbum mahupun bahan kimia berbahaya lain dalam pembuatan bateri solar yang akan dihasilkan Federal Power Holdings Sdn Bhd di Jenjarom, di sini, tidak lama lagi.

Walaupun pengendali kilang bateri terdahulu didapati bertanggungjawab terhadap pencemaran udara dan air di sekitar Kampung Jenjarom akibat kebocoran asid dan plumbum pada 2019, namun ia tiada kaitan dengan Federal Power.

Pengurus Operasi Federal Power, Mohd Shamsul Shahrizan Ayop berkata, proses penghasilan bateri solar tidak sama dengan pembuatan bateri automotif oleh pengendali kilang terdahulu.

“Kami hanya membuat proses pemasangan bateri solar sahaja, tiada proses pembuatan (pengilangan dari bahan mentah kepada bahan siap).

“Proses penghasilan bateri solar lebih mudah dan ringkas, tidak seperti proses pembuatan bateri automotif menggunakan logam plumbum yang boleh mencemarkan air dan udara,” katanya kepada MalaysiaGazette di pejabatnya, di Jenjarom, hari ini.

Pada April 2019, sebuah kilang bateri di Jenjarom, di sini, diarah tutup serta-merta oleh Kerajaan Negeri Selangor sehingga siasatan terhadap pencemaran asid dan plumbum yang didakwa berpunca daripada kilang itu selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Hee Loy Sian berkata, kilang bateri itu turut dikenakan enam kompaun berjumlah RM12,000.

Pengurus Operasi Federal Power, Mohd Shamsul Shahrizan Ayop bercakap kepada media mengenai operasi kilang bateri solar tidak mencemarkan Alam sekitar ketika di Jenjarom, Banting. Foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2021.

Mohd Shamsul berkata, pengeluaran bateri solar keluaran Federal Power tidak melibatkan proses peleburan plumbum yang boleh mencemarkan alam sekitar seperti mana yang dilakukan oleh pengendali kilang bateri sebelum ini.

“Tambahan pula pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah memberi syarat tambahan yang sangat ketat sebelum memberi sokongan dan membenarkan kilang ini beroperasi pada hujung tahun ini.

“Jadi tidak adil operasi kami ini mencemar alam sekitar,” katanya.

Jelasnya, kilang bateri itu di bawah pengendali lama mula beroperasi pada 2014 dalam aktiviti pengisian asid sebelum bangunan itu musnah dalam kebakaran pada Disember 2017 serta dibenarkan beroperasi semula pada September tahun lalu.

“Sebelum ini pada akhir 2017, kilang ini telah terbakar di mana mengakibatkan kebocoran sekitar kawasan kilang dan dipercayai pencemaran yang ditafsirkan orang ramai sebagai pembuangan sisa industri ke sungai-sungai berdekatan.

“Kami dimaklumkan pemilik kilang asal telah membuat pembaikan seperti mana yang disyaratkan oleh pihak berwajib,” katanya.

Ditanya tentang bantahan penduduk setempat apabila kilang bateri itu akan beroperasi semula, Mohd Shamsul berkata, pihaknya tidak dapat menghalang hak demokrasi rakyat susulan kejadian sebelum ini.

“Kami tidak menyalahkan penduduk kampung sepenuhnya, namun apa yang kami kecewa segela penerangan yang kami lakukan tidak diterima secara rasional,” katanya.

Selain itu, pembukaan semula kilang bateri itu setelah mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MPKL susulan pemasangan bateri solar itu tidak banyak menghasilkan sisa industri dan bebas plumbum.

“Saya percaya di atas faktor inilah pihak berkuasa tempatan memberi peluang kepada kami untuk menjalankan operasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast