Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendesak sebarang ugutan, kacau ganggu dan pengaruh tidak wajar termasuk notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dihentikan dan ditarik serta merta.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tidak pernah berlaku wakil rakyat dipanggil memberi keterangan kepada polis berkaitan perbahasan dalam Dewan Undangan Negeri.

PN menurut beliau, mengutuk tindakan memanggil Azmin ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi memberikan kenyataan berkaitan isu dibangkitkan beliau dalam sesi perbahasan Dewan Negeri Selangor Mac lalu.

Beliau menyifatkan tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu sebagai tindakan penakut dan terdesak untuk menutup isu-isu kepincangan pentadbiran yang ditimbulkan Azmin.

“Kerajaan Madani yang kini ibarat “takut dengan bayang-bayang sendiri” bukan sahaja gagal berwacana secara sihat dan profesional bagi menjawab isu, malah telah mengambil tindakan draconian bagi menyepikan kritikan (silent the critique) dan menyekat kebebasan bersuara.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi di negara ini, seorang ahli dewan undangan yang dipilih oleh rakyat di ambil tindakan atas apa yang diucapkannya untuk memenuhi tanggungjawabnya di dalam Parlimen atau dewan undangan negeri,” kata beliau.

Beliau menegaskan, prinsip kekebalan terhadap ucapan dalam dewan undangan negeri digariskan dengan jelas di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh Negeri, khususnya Seksyen 2 dan 3 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Azmin pada sidang DUN Mac lalu dilaporkan meminta kerajaan negeri untuk menjelaskan tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pada nilai RM270 juta.

Azmin turut memetik laporan The Edge pada 29 Februari lalu bahawa pemaju hartanah Tropicana Corporation Bhd memperoleh sebidang tanah pajakan di Kota Damansara dengan harga RM224 juta.

Bagaimanapun, pengerusi PKNS yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menepis dakwaan prestasi kewangan PKNS berada dalam keadaan teruk dan menanggung hutang sebanyak RM5.7 bilion.

Jelas Amirudin, kedudukan kewangan PKNS ketika ini adalah baik bahkan masih memperoleh keuntungan daripada pendapatan utama operasinya.

Azmin yang merupakan Ketua Pembangkang Selangor menyifatkan tindakan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah kepada beliau disifatkan adalah tidak berpelembagaan.

Serentak itu beliau dalam sidang akhbar menolak untuk memberi keterangan yang dijadualkan hari ini. – MalaysiaGazette