Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood menunjukkan barang rampasan selepas sidang media berkenaan kejayaan PDRM menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 21 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dikatakan memproses dadah menggunakan bahan mentah yang diperoleh daripada pelbagai sumber di sebuah kondominium di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, suspek seorang warga tempatan berusia 45 tahun dikatakan aktif sejak dua bulan lalu memproses bahan terlarang itu semata-mata mahu mengaut keuntungan besar.

Bagaimanapun suspek berjaya diberkas polis.

Bertindak atas maklumat pada 18 Mei lalu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Brickfields telah menyerbu Kondominium Indah Ria yang terletak di Bandar Baru Seri Petaling.

“Hasil daripada serbuan itu polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan sebelum pemeriksaan lanjut dalam rumah itu membawa kepada rampasan serbuk MDMA seberat 2.3 kilogram, pil ekstasi 108.4 gram dan ketamin 20.60 gram yang disorok di dalam unit tersebut.

“Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM106,650 selain turut merampas peralatan memproses dadah antaranya ketuhar gelombang mikro, tiga alat pengisar, alat penimbang, bekas aluminium dan kaca yang dipercayai digunakan memproses dadah di dalam rumah tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Ku Mashariman, siasatan awal mendapati suspek  bergerak secara solo dan segala kaedah pemprosesan dadah dipercayai diperoleh dengan kemahiran sendiri selain sumber  internet dan sebagainya.

“Kami juga percaya suspek lebih yakin dan terlibat dalam pemprosesan dadah secara sendiri kerana ada 10 rekod jenayah termasuk lapan kesalahan lampau bersangkut dadah yang dimilikinya.

“Kita juga percaya suspek ada pengetahuan memproses dadah yang dikumpul menerusi sumber internet dan menyewa unit kondominium itu untuk memproses dadah jenis MDMA dan pil ekstasi bagi kegunaan di daerah tersebut.

“Dadah yang diproses akan diuruskan pembelian oleh pengguna tegarnya menerusi aplikasi sembang maya yang digunakan untuk berkomunikasi dengan harga antara minimum RM200 hingga RM250 sepeket,” ujarnya.

Suspek diuji positif amphetamine dan methaphetamine dan kini direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 Mei ini.

Ku Mashariman berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan juga 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

“Polis sedang meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki suspek yang terlbat dalam kes ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette