Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di Taman Rimba Mentakab, Pahang sejak 7 Februari lalu akan ditamatkan esok.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di empat buah perkampungan Orang Asli Seri Makmur, Tanjung Rambutan Perak bermula 29 September hingga 12 Oktober ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamtan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad turut mengumumkan PKPD di tiga Rancangan Felda di Bera yang melibatkan Felda Rentam, Felda Tementi dan Felda Sebertak.

Jelas beliau, PKPD ini dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko penularan Covid-19 yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang dilaksanakan di semua kawasan berkenaan adalah sama yang diumum sebelum ini.

Dalam masa sama, Rodzi turut mengisytiharkan penamatan PKPD di Kampung Orang Asli Gangai, Mukim Slim, Mualim Perak lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu esok.

Sepatutnya PKPD di perkampungan Orang Asli itu tamat pada 6 Oktober 2021.

Selain itu PKPD di Kampung Temalian, Raub Pahang dan Kampung Paya Pelong di Temerloh pula ditamatkan esok.

Begitu juga dua lokaliti PKPD di Kota Kinabalu iaitu Kampung Warisan dan Rumah Pangsa Tanjung Aru termasuk Kampung Rugading, Kota Marudu dan Kilang Fu Yee di Kalabakan, Sabah turut ditamatkan esok. – MalaysiaGazette