Kuala Lumpur KL city centre RMK12 Twelfth Malaysia Plan 12th
Pemandangan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperkenalkan beberapa pembaharuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

Sebanyak tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu percubaan diperkenalkan dalam RMK12 yang mengambil pendekatan keseluruhan negara, melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan.

Ismail Sabri berkata, RMK12 dengan matlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan akan membolehkan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik.

”Kita mahu memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan. Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada arus pembangunan.

”Kita mahu hidup bahagia bersama-sama, sebagai satu keluarga tanpa mengira tahap pendapatan, agama, bangsa dan kaum. Dalam melaksanakan pembangunan, kelestarian alam perlu menjadi agenda utama negara, kerana ia akan diwarisi oleh generasi masa hadapan,” katanya semasa membentangkan usul RMK12 di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri menambah, pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Insya-Allah, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.

“Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi,” tambah beliau.

Menurut beliau, empat matlamat utama dalam tempoh RMK12 iaitu mensasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025.

Kedua, mengunjurkan purata pendapatan isi rumah sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada tahun 2025, ketiga mengurangkan jurang KDNK per kapita antara wilayah tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025.

Keempat, pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.

Manakala sembilan fokus utama RMK-12 ialah:

1. Merancakkan pertumbuhan ekonomi;
2. Memperkukuh pemangkin pertumbuhan;
3. Meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia;
4. Memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam;
5. Membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan;
6. Memperkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia;
7. Melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun;
8. Mempercepat pertumbuhan hijau;
9. Meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan. – MalaysiaGazette