Sarawak United. Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan mengakui masih terlalu awal untuk berpuas hati dengan persembahan anak buahnya selepas menang 3-1 ke atas Penang FC pada aksi pertama TM Piala Malaysia, semalam.

Meskipun mereka melakar kejutan menewaskan pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super, Elavarasan menganggap setiap lawan adalah berbeza dan apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan akan datang apatah lagi mereka hadir sebagai satu-satunya pasukan dari Liga Premier dalam kumpulan A.

Tetapi, bekas jurulatih Melaka United FC ini tetap berbangga dengan usaha barisan pemain bagi memastikan permulaan yang cukup positif untuk mereka meraih tiga mata pertama dan bersedia dengan motivasi baharu untuk berdepan Sri Pahang FC pada Rabu ini.

“Kalau nak kata puas hati, kadang-kadang apabila bermain bagus, kita boleh kalah dan kadang-kadang apabila bermain tidak bagus, kita menang, jadi yang penting adalah keputusan ini bagi meraih tiga mata.

“Jadi, kalau nak tanya pasal puas hati ke tidak, saya tidak boleh cakap lagi sebab masih ada lima perlawanan selepas ini, banyak benda lagi kita tidak tahu apa akan jadi, apatah lagi apabila berlawan dengan pasukan daripada divisyen yang lebih tinggi dari kita.

“Tapi, tahniah kepada pasukan kita kerana masih boleh bertahan untuk menang dan ia bagus untuk permulaan ini, tapi perjalanan masih jauh, kita kena tengok pasukan mampu konsisten atau tidak”, jelasnya.

Satu lagi keputusan dalam kumpulan A membabitkan Kuala Lumpur City FC yang berjaya meraih tiga mata menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 3-1. – MalaysiaGazette