Keadaan kemalangan yang mengorbankan tiga mangsa manakala dua lagi cedera parah.

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka melanggar tembok sebuah rumah di Jalan Rumbia 3, Taman Daya di sini pada Isnin.

Komander Operasinya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A. Hamid berkata, laporan kejadian diterima pada jam 2.03 pagi.

Susulan itu seramai enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Proton Waja ini telah terbabas melanggar tembok rumah dan terdapat lima orang mangsa di dalam kereta yang dipercayai dari arah Taman Daya menuju ke Setia Indah,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai R Vimalan, 21, M Sharven, 21 dan seorang lagi lelaki dewasa berusia 20-an yang masih belum dikenali identitinya.

“Sementara itu S Meshen Kumar, 21, dan P Agilan, 22, cedera parah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi.

Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan selanjutnya manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis.

Operasi menyelamat difahamkan tamat pada jam 3.42 pagi.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast