Tiga beradik yatim piatu yang baru kehilangan ibu mereka kini tinggal bersama nenek mereka di Kampung Kelantan, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI – Seorang warga emas yang tinggal di Kampung Kelantan, di sini, berharap dikurniakan umur panjang bagi membolehkan beliau menjaga tiga cucunya yang kehilangan ibu mereka akibat kemalangan jalan raya pada awal bulan lalu.

“Jika Tuhan hendak ambil nyawa mak cik biarlah ketika cucu-cucu mak cik ini sudah pandai berdikari,” luah Intan Kurus, 61, ketika ditemui di rumah sewa arwah anak perempuannya, di sini, hari ini.

Intan berkata, anaknya, Rosayu Ramli, 38, ibu kepada tiga cucunya itu bekerja di bahagian pembersihan di Hospital Kota Tinggi meninggal dunia akibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya pada 2 September lalu.

Kini, warga emas itu bertanggungjawab memelihara Muhammad Nor Yusuf Abdullah, 15; Muhammad Haikal, 10 dan Siti Nur Hijrah, 7, selepas mereka kehilangan tiada tempat bergantung.

“Bapa mereka meninggal dunia tiga tahun lepas. Jadi mak cik kena kuat untuk menjaga mereka. Saya selalu berpesan kepada cucu agar sentiasa sayang diri sendiri jangan mudah merajuk.

“Mak dah tak ada, satu hari nanti akan jumpa ‘di sana’. Allah nak uji bukan sahaja cucu mak cik tapi menguji mak cik juga,” katanya.

Intan memberitahu, perbelanjaan mereka ditanggung anak sulung yang bekerja di Singapura, selain dibantu seorang lagi anak, Muhammad Norhisham Ramli, 26.

Pada 2 September lalu, media melaporkan seorang pekerja pembersihan maut selepas motosikal ditunggang digilis bas kilang di Jalan Mangga Taman Kota Jaya, di sini.

Dalam kejadian ikira-kira pukul 6.20 pagi itu menyebabkan mangsa, Rosayu Ramli, 38, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Orang ramai yang mahu menyumbang bagi membantu tiga beradik boleh menyalurkan ke akaun Mohamad Norazam Ramli  melalui Public Bank 6850829906 .- MalaysiaGazette