KUALA LUMPUR – Prestasi dagangan Malaysia mengekalkan momentum positif pada Ogos 2021 dengan jumlah dagangan meningkat 15.7 peratus daripada RM146.7 bilion pada Ogos 2020 kepada RM169.8 bilion.
Eksport kembali mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding import, berkembang 18.4 peratus kepada RM95.6 bilion tahun ke tahun.
Import meningkat 12.5 peratus kepada RM74.2 bilion, dipacu oleh barangan modal yang bertumbuh 22.9 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia pada Ogos 2021mencatat pertumbuhan dua digit 18.4 peratus tahun ke tahun, disokong oleh eksport domestik dan eksport semula.
Ini adalah peningkatan tahun ke tahun kedua belas bulan berturut-turut sejak September 2020.
Eksport domestik pula berjumlah RM79.1 bilion dan menyumbang 82.7 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 18.7 peratus.
Di samping itu, eksport semula dengan nilai RM16.5 bilion, meningkat 16.7 peratus tahun ke tahun. Import Malaysia pada Ogos 2021 berjumlah RM74.2 bilion, terus mencatatkan pertumbuhan 12.5 peratus atau RM8.2 bilion dan lebihan dagangan melonjak 44.7 peratus kepada RM21.4 bilion.
Seiring dengan aktiviti ekonomi dalam negara yang perlahan, prestasi bulan ke bulan bagi jumlah dagangan, eksport dan import menunjukkan penurunan masing-masing 6.1 peratus, 1.8 peratus dan 11.2 peratus.
Sebaliknya, lebihan dagangan meningkat 55.5 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM2.4 bilion), Jepun (+RM1.8 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.2 bilion), Indonesia (+RM1.1 bilion), Hong Kong (+RM1.0 bilion), Australia ( +RM825.8 juta) dan China (+RM814.8 juta).
Sementara itu, China terus menjadi penyumbang utama kenaikan import (+RM3.2 bilion), diikuti oleh Indonesia (+RM1.7 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.5 bilion), Korea (+RM1 .5 bilion) dan Jepun (+RM759.5 juta).
Peningkatan eksport didorong oleh keluaran petroleum (+RM2.6 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM2.2 bilion); kimia & bahan kimia (+RM2.2 bilion); barangan perkilangan logam (+RM1.9 bilion); gas asli cecair (+RM1.9 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasakan minyak kelapa sawit (+RM1.4 bilion) dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.1 bilion).
Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM3.3 bilion); kimia & bahan kimia (+RM2.1 bilion); barangan besi & keluli (+RM1.1 bilion) dan keluaran petroleum (+RM1.0 bilion). – MalaysiaGazette