KUALA LUMPUR – Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong Wai Hung mengakui menerima aduan seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa liwat guru tahfiz.

Menerusi perkongsiannya di Telegram, Firdaus Wong berkata, perkara itu dimaklumkan oleh ibu mangsa pada sesi Google Meet hari ini.

“Kami merasai kegeraman, kemarahan, kekesalan serta kesedihan ibu mangsa. Bukan anaknya sahaja tetapi rakan-rakan anaknya itu juga telah menjadi mangsa kepada ‘ustaz’ di pusat tahfiz tersebut,” katanya menerusi Telegramnya.

Jelas Firdaus lagi, kes tersebut bukan baharu berlaku tetapi sudah lebih setahun dan dan laporan polis juga telah dibuat.

“Sehingga ke hari ini tidak ada perkembangan terkini terhadap kes tersebut daripada pihak berkuasa.

“Mereka meminta bantuan kami. Insya-Allah kami akan membantu anak-anak mereka keluar daripada trauma dengan menawarkan khidmat kaunselor bertauliah secara percuma.

“Selain itu, khidmat sokongan kepada keluarga juga ada diberikan kerana mereka turut trauma akibat kejadian tersebut,” katanya lagi.

Pendakwah bebas itu juga turut berkongsi mengenai kekesalan ibu mangsa apabila perkara itu berlaku di pusat tahfiz.

“Niat dan keputusan menghantar anak ke pusat tahfiz adalah betul. Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran kepada si ibu dan keluarga.

“Apa yang berlaku adalah di luar jangkaan kita. Ibu mangsa tampil membuat laporan kerana mahukan keadilan.

“Kita tidak mahu sesiapa menggunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu mereka yang bercanggah dengan agama,” jelasnya.

Firdaus akan memberikan Kerjasama sebaiknya kepada keluarga mangsa.

“Kami bukan polis tetapi Insya-Allah akan bekerjasama untuk membantu kesemua mangsa ini.

“Hampir setiap hari, kami akan mengadakan minima dua atau tiga kali Google Meet berkaitan kes-kes gangguan seksual, predator seksual, serangan seksual dan majoriti mangsa serta ahli keluarga adalah keluarga biasa sedangkan pemangsa terdiri daripada mereka yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat,” katanya lagi.

Tambahnya, kesemua kes yang diadukan kepada pihaknya akan diserahkan kepada pihak berkuasa.- MalaysiaGazette