Dr Adham Baba MOSTI mRNA Covid-19 vaccine Malaysia
Adham Baba

KUALA LUMPUR – Penghasilan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah di negara ini masih rendah berbanding negara berinovasi tinggi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ketika ini Malaysia hanya membelanjakan 24.5 peratus bagi aktiviti membabitkan penghasilan prototaip, perintis dan peningkatan produk.

Selain itu, kata beliau, negara ini juga kekurangan pelaburan dalam aktiviti penyelidikan ekspertimental pra-pengkomersialan.

“Jika kita bandingkan Perbelanjaan Dalam Negara Kasar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan Malaysia kepada negara maju, terdapat ruang dan peluang untuk negara memacu ekonomi inovatif yang lebih unggul sebagai mana negara-negara lain.

“Di negara-negara lain yang berinovasi tinggi, mereka membelanjakan lebih daripada 50 peratus untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Penerima Top Research Scientist Malaysia (TRSM) 2021 secara maya, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Presiden Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Asma Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Hazami Habub.

Selain itu Adham berkata, jika diamati, negara-negara yang berpaksikan inovasi ini mempunyai lebih daripada 40 peratus penyelidik di dalam sektor industri.

Bagaimanapun, katanya, di Malaysia, berdasarkan Pangkalan Data Institut Perangkaan UNESCO, hanya 15.83 peratus penyelidik berada di dalam sektor industri, manakala 79.2 peratus penyelidik berada di institusi pengajian tinggi.

Bagi mengatasi jurang itu kata beliau, MOSTI sedang mengkaji mekanisma yang bersesuaian untuk mempertingkatkan peratusan penyelidik di sektor industri dan salah satu inisiatif yang sedang dijalankan adalah menerusi Pertukaran Ilmiah Industri Penyelidik (RISE) yang membolehkan penempatan penyelidik di industri bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi bagi meningkatkan produktiviti.

“Ingat, jika kita ingin melihat impak perubahan, kita harus melihat gambaran yang lebih besar, mencipta visi dan mentransformasikan idea menjadi tindakan.

“Besar harapan saya agar para saintis terulung di negara ini dapat membantu negara dengan lebih proaktif dalam usaha mencapai hasrat Malaysia menjadi Negara Berteknologi Tinggi menjelang 2030,” ujarnya. – MalaysiaGazette