Sotong dan udang sejuk beku yang diimport dari Indonesia tanpa permit sah berjaya dirampas bersama Kontena di Pelabuhan Klang oleh Maqis Ahad lalu.gambar ihsan Maqis

SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kontena mengandungi udang dan sotong sejuk beku di Pelabuhan Klang Barat yang disyaki dibawa masuk dari Indonesia.

Penahanan dan rampasan itu dilakukan Maqis dalam satu serbuan dan pemeriksaan pada Ahad lalu.

Menurut Maqis Selangor, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua barang yang dibawa masuk dari negara jiran itu tidak mempunyai permit import yang sah.

“Penahanan tersebut dibuat menerusi pemeriksaan rutin yang dijalankan Maqis pada jam 10.30 pagi di pelabuhan utama itu.

“Maqis melakukan pemeriksaan terhadap kontena tersebut yang agak meragukan itu sebelum hasilnya mendapati produk sejuk beku itu tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan oleh Maqis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Maqis, kesemua barang dagangan sejuk beku itu dianggarkan seberat 13,185 kilogram (kg) dengan nilai RM344,823.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). -MalaysiaGazette