Mangsa maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada leher dan kepala.

GEORGE TOWN – Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Jalan Ayer Itam berhampiran Sekolah La Salle hari ini.

Pada kejadian pukul 9.05 pagi, mangsa, A. Sivalinga Peremal, 50, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian leher dan kepala.

MalaysiaGazette difahamkan, terdapat kesan kelar pada bahagian leher mangsa dipercayai terkena besi pembahagi tengah jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, mangsa menunggang motosikal jenis SYM JetX dari arah Jalan Masjid Negeri menghala Ayer Itam.

Dalam perjalanan itu, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan di kawasan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terseret ke depan sejauh 33 meter manakala motosikalnya pula hanya calar pada bahagian kanan.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian ekoran mengalami kecederaan parah pada leher dan kepala dipercayai terkena tiang cerucuk besi pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Saravanan, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette