Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar melakukan proses pelupusan menggunakan jengkaut pada Majlis Pelupusan Barang Kes Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras di Balai Polis Alam Damai, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis melupuskan 2,236 barang kes yang terdiri daripada peralatan aktiviti perjudian dan pelacuran selain rokok tidak bercukai yang dirampas dalam serbuan di sekitar daerah Cheras.

Nilai keseluruhan barang kes yang telah dilupuskan pagi ini dengan arahan Mahkamah bernilai RM150, 000.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua barang kes yang dilupuskan itu membabitkan 86 kertas siasatan jenayah yang telah dibuka dan disiasat oleh pihaknya sebelum ini.

“Antara barang kes jenayah yang dilupuskan hari ini adalah adalah unit pemprosesan komputer (CPU), komputer aktiviti perjudian, minyak pelincir, tuala dan rokok haram tidak bercukai.

“Kesemua barangan ini dirampas menerusi pelbagai operasi yang dijalankan polis sepanjang tahun 2019 dan 2020,” kata beliau pada sidang media operasi pelupusan barang kes di Balai Polis Alam Damai, Cheras, di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Idzam, daripada 86 kertas siasatan itu, sebanyak 72 sudahpun didakwa di mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar (tengah) melihat antara barang yang akan dilupuskan pada Majlis Pelupusan Barang Kes Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras di Balai Polis Alam Damai, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2021.

“Tindakan pelupusan barang itu dilakukan selepas semua kertas siasatan sudah berjaya dituduh dan dijatuhkan hukuman oleh pihak mahkamah selain tiada tindakan lanjut.

“Justeru, proses pelupusan barang kes ini adalah bertujuan untuk mengelakkan berlakunya lambakan serta kesesakan kes yang sudah selesai,” ujarnya sambil menambah Polis Cheras memandang serius sebarang aktiviti membabitkan jenayah perjudian dan pelacuran.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berhubung kegiatan jenayah berkenaan dengan menghubungi Ketua Polis Balai atau menerusi bilik gerakan IPD Cheras. – MalaysiaGazette