Bangunan UTHM

KUALA LUMPUR – Istiadat Perisytiharan Penganugerahan Ijazah Sempena Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dijadualkan berlangsung pada 21 November 2021 secara maya.

Kaedah penganjuran secara maya ini diputuskan dalam Mesyuarat Senat Universiti selepas mengambi kira kes pandemik Covid-19 masih merekodkan angka tinggi.

UTHM berkata, penganjuran secara maya itu hanya melibatkan kehadiran pegawai kanan sahaja, tanpa dihadiri oleh graduan dan ibu bapa serta akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Naib Canselor akan membuat perisytiharan penganugerahan dan seterusnya menyampaikan anugerah.

Pengisytiharan yang bakal disiarkan secara ‘LIVE’ di media sosial rasmi universiti ini secara simboliknya menandakan graduan UTHM telah dianugerahkan dengan ijazah masing-masing.

Oleh itu, para graduan diminta untuk mengemas kini maklumat peribadi di dalam portal konvokesyen yang boleh diakses oleh graduan mulai 15 November 2021.

Manakala Majlis Penyerahan Skrol Graduan Tahun 2020 dan Graduan Tahun 2021 dijangka diadakan pada bulan Februari dan Mac 2022.

Namun , sebarang keputusan akhir mengenai pelaksanaan istiadat ini adalah tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 dan sebarang perubahan keputusan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette