KUALA LUMPUR -Polis Perak menafikan dakwaan maklumat video tular kononnya dua pelajar sekolah telah meninggal dunia selepas mengambil vaksin Covid-19.
Sambil menafikan dakwaan tidak berasas itu, Ketua Polis Perak Komisioner Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan ke atas video tular berhubung dakwaan tidak benar itu di media sosial.
“Dakwaan dua pelajar sekolah telah meninggal dunia akibat vaksin seperti tular adalah mengelirukan dan tidak tepat.
“Memang benar dua pelajar dari sekolah menengah itu telah meninggal dunia tetapi ia bukanlah akibat vaksin seperti ditularkan dalam video di media sosial, itu tak benar.
“Pada 18 Julai lalu, seorang pelajar perempuan meninggal dunia disebabkan positif Covid-19 dan dia mempunyai latar belakang penyakit kronik kencing manis dan darah tinggi dan dirawat dalam keadaan kritikal di Hospital Ipoh (Hospital Raja Permaisuri Bainun),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Seorang lagi pelajar lelaki meninggal dunia pada 17 September lalu akibat sakit jantung.
“Ini menunjukkan kematian kedua-dua pelajar berkenaan tiada kaitan langsung dengan suntikan vaksin.
“Lagipun pemberian vaksin untuk golongan remaja hanya dimulakan kerajaan pada 20 September ini, ujar beliau.
Ditanya mengenai tindakan lanjut dalam soal video tular kematian pelajar dikaitkan dengan vaksin, Mior memaklumkan polis sudah membuka kertas siasatan dan sedang menyiasat kes ini.
Seorang wanita telah dikenalpasti berkaitan penularan itu dan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis,” katanya. – MalaysiaGazette