Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (tengah) beramah mesra dengan penerima-penerima lesen dan kunci pada Majlis Sesi Penyerahan Kunci Dan Lesen Perniagaan Pusat Penjaja D'laman Rasa di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi pengecualian bayaran sewa sehingga Disember dan pengurangan bayaran fi lesen sebanyak 50 peratus kepada para peniaga di Pusat Penjaja D’laman Rasa, Jalan Suasa 5, Sungai Besi di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pusat penjaja yang mempunyai sejumlah 64 unit gerai itu menyediakan kemudahan seperti ‘kitchen hood’, tandas, surau, rumah sampah dan tempat letak kereta.

Menurut beliau, premis berkenaan dijangka memulakan operasi pada Oktober ini.

“Pusat penjaja ini menempatkan semula penjaja-penjaja tepi jalan di sekitar Pekan Sungai Besi serta mereka yang beroperasi di hadapan sebuah pasar raya di sini.

“Sebahagian besar mereka ini terlibat dengan projek pengindahan dan pelebaran jalan di pekan ini.

“Untuk makluman, projek ini telah dimulakan pada tahun 2016 dan siap sepenuhnya pada tahun ini. Jadi mereka dijangka mula beroperasi di pusat penjaja pada bulan Oktober,” katanya.

Pusat Penjaja D’laman Rasa yang akan beroperasi dijangka Oktober ini di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2021.

Terdahulu Shahidan menyampaikan replika kunci kepada penerima termasuk lapan lesen perniagaan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar.

Tambah Shahidan, DBKL menetapkan kadar sewaan kepada penjaja antara RM240 hingga RM300 sebulan.

“Diharap dengan siapnya pusat penjaja yang baharu ini, dapat lah memberi keselesaan bukan sahaja kepada penjaja untuk berniaga tetapi juga kepada pengunjung dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti mutu perniagaan serta hasil jualan kepada penjaja tersebut.

“Para penjaja juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi syarat yang telah ditetapkan dalam lesen perniagaan dengan menjaga kebersihan dan memelihara harta benda premis perniagaan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Sukaty Ahmad, 50, melahirkan rasa syukur kerana terpilih untuk menjadi salah seorang penerima lesen perniagaan pada hari ini.

Temubual bersama peniaga, Sukaty Ahmad pada Majlis Sesi Penyerahan Kunci Dan Lesen Perniagaan Pusat Penjaja D’laman Rasa di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2021.

Jelas Sukaty, sudah lebih 20 tahun dia mengusahakan perniagaan yong tau fu dengan membuka gerai di tepi jalan.

“Bersyukur sangat kerana dapat juga berniaga di premis yang lengkap dengan segala kemudahan ini kerana sudah lebih 20 tahun saya berniaga dengan membuka gerai di tepi jalan.

“Jadi dengan adanya pusat penjaja ini dapatlah membantu kami semua para peniaga yang selama ini beroperasi di tapak sementara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast