KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) dan MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro), menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dalam membawakan pengalaman digital berkualiti tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kolaborasi ini turut menzahirkan komitmen kedua-dua Syarikat dalam menyokong inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi menyediakan  liputan jalur lebar yang lebih meluas dan pengalaman yang lebih baik di seluruh negara.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM dan Amar Huzaimi Md Deris, Naib Presiden Eksekutif, TM WHOLESALE sementara Astro diwakili oleh Henry Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Shafiq Abdul Jabbar, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan.

Melalui kolaborasi strategik ini, TM menerusi TM WHOLESALE, unit perniagaan global dan borongnya, akan menyediakan Astro dengan himpunan lengkap penyelesaian infrastruktur dan sambungan yang merangkumi kesemua peringkat perkhidmatan borong termasuklah jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), lebar jalur (bandwidth), backhaul dan akses Internet.

Infrastruktur rangkaian fiber yang meluas dan mantap ini akan membolehkan TM serta Astro menyediakan sambungan berkualiti tinggi yang diyakini kepada pengguna akhir masing-masing.

Dengan perkhidmatan HSBB TM, Astro turut berupaya menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada pelanggannya tanpa perlu menbangunkan infrastruktur baharu sambil memperluaskan liputannya ke kawasan yang lebih luas di seluruh negara melalui rangkaian fiber.

Bagi perkhidmatan internet, penyelesaian akses internet TM akan membolehkan Astro untuk menawarkan sambungan internet berprestasi tinggi dan penyelesaian menyeluruh kepada para pelanggannya.

Bagi melengkapkan perkhidmatan tersebut, TM akan turut menyediakan Astro dengan Rangkaian Penyampaian Kandungan (TM Content Delivery Network – TM CDN), sebuah perkhidmatan platform kandungan yang baru dibangunkan untuk memberikan kandungan digital yang lebih lancar, lebih pantas dan selamat, membolehkan Astro meningkatkan kecekapan penstriman videonya bagi penawaran perkhidmatannya masa kini. – MalaysiaGazette