Sebahagian daripada 14 ahli Geng Nicky dilepaskan tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan memohon menarik semula pertuduhan sehingga siasatan lanjut berikutan kes jenayah terancang antarabangsa merangkumi Macau Scam dan pengubahan wang haram ketika di Mahkamah Tinggi, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan terhadap 14 individu termasuk empat warganegara China dan dua adik ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee daripada tuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’.

Hakim, Abd Halim Aman menetapkan demikian selepas pendakwa raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap kesemua individu terbabit.

Menurut hakim, mengikut artikel 145 Perlembagaan Persekutuan, kuasa mendakwa, tidak mendakwa dan menarik balik pendakwaan adalah berkait dengan kuasa pihak pendakwaraya.

“Pihak pendakwaan berjaya meyakinkan mahkamah apabila mencadangkan untuk menjalankan pertuduhan selepas siasatan sudah lengkap.

“Oleh itu, mahkamah memutuskan kes kesemua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan di bawah Sekysen 254 Kanun Tatacara Jenayah (CPC),” katanya ketika membuat penghakiman di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di sini hari ini.

Mereka yang dilepas tanpa dibebaskan itu ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Weng, Datuk Liow Wei Kin, Datuk Liow Wei Loon, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue.

Wei Kin dan Wei Loon merupakan adik kepada Nicky.

Terdahulu pihak pembelaan yang diketuai Datuk Jaspal Singh mahu kesemua 14 anak guamnya dilepas dan dibebaskan setelah mereka ditahan selama enam bulan sejak Mac lalu.

Menurut Jaspal, ia kerana anak guamnya ditahan selama 21 hari, antara 18 hingga 21 Mac lalu mengikut Sekysen 13, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2021 (SOSMA).

Bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya, Muhamad Iskandar Ahmad berkata, pihaknya memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan kesemua tertuduh kerana berhasrat untuk meneruskan pertuduhan pada masa akan datang.

Pada 9 April lalu, kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Nicky di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong dekat sini antara 1 Januari 2017 dan 20 Mac 2021.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Andrew didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 29 Mac 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Jamaludin Mat berikutan kes itu melibatkan jenayah terancang yang tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Rajpal Singh, Datuk Suraj Singh, M. Mariappan, Tiew Poh Nee, Salim Bashir, Datuk Krishnan Nair, Mohd Salahuddin Salleh, Hafiz Zubir dan Datuk Jansen Chua mewakili beberapa tertuduh.

Nicky, 33, merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas. – MalaysiaGazette