KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan dua pemain pertahanan iaitu Muhammad Ariff Farhan Md Isa dari Kedah Darul Aman FC dan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni dari Terengganu FC telah dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya, petang esok.

Mereka dipanggil bagi menggantikan tempat pemain pertahanan Selangor FC, Syahmi Safari dan pemain pertahanan kelab Denmark, FC Midtjylland, Dion-Johan Cools yang disahkan tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini kerana kecederaan.

Arif Farhan dan Shahrul Nizam akan melengkapkan senarai 24 pemain Harimau Malaya yang dipanggil untuk menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan pada 6 Oktober 2021 dan Uzbekistan pada 9 Oktober ini, kedua-duanya berlangsung di Amman, Jordan.
Daripada senarai 24 pemain tersebut, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe hanya mengekalkan 10 pemain dari kem latihan pusat terdahulu pada Mei dan Jun lalu iaitu ketika menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE, Vietnam dan Thailand di Dubai, UAE.

Terdapat muka baharu yang mahu diuji Cheng Hoe iaitu penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Turut kembali tersenarai, enam pemain yang pernah dipanggil sebelum ini iaitu penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat; kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar; dua pemain Terengganu FC, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Faisal Halim serta dua pemain Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj.

Dua perlawanan persahabatan itu merupakan medan terbaik buat Cheng Hoe menilai pemain yang dipanggil kali ini sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 dari 5 Disember ini hingga 1 Januari depan dan seterusnya Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun hadapan. – MalaysiaGazette