Tertuduh, Kamalanathan Rahah, 40 yang merupakan seorang penarik kereta didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah meminta suapan wang tunai berjumlah RM600 untuk menarik sebuah kereta didakwa dituntut CIMB Bank ketika di Mahkamah Sesyen, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini mengenakan denda RM4,000 terhadap seorang penarik kereta selepas mengaku bersalah memperdaya seorang individu untuk menyerahkan wang tunai RM600 untuk tidak menarik sebuah kereta didakwa dituntut CIMB Bank, empat bulan lalu.

Tertuduh, Kamalanathan Rahah, 40, membuat pengakuan bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 24 Mei 2021 di RHB Bank Cawangan Jalan Stesen Kelang beralamat di 24 & 26, Jalan Stesen, Kawasan 1, Klang, Selangor telah memperdayakan Muhammad Ammiroul Amin Shahrizan.

Tertuduh dengan curangnya mendorong individu terbabit untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM600 dengan mempercayai bahawa sebuah kereta jenis Proton Iriz milik Nur Alysha Shahrizal akan ditarik oleh pihak CIMB Bank.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman dan Noryusriza Zulkifli tidak menawarkan sebarang denda terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkmah mengenakan denda serendah mungkin memandangkan isteri dan anaknya sedang menjalani kuarantin kerana positif Covid-19.

Bagaimanapun hakim membenarkan tertuduh didenda sebanyak RM4,000 dari RM6,000 dan jika gagal boleh dipenjara enam bulan. – MalaysiaGazette