Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Olak Lempit, Banting. Foto HAFIZ SOHAIMI,04 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyasarkan pulangan sebanyak RM12.5 bilion bagi eksport industri perabot negara.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata sasaran itu adalah 20 peratus lebih daripada perolehan pada tahun lalu, iaitu RM10.63 bilion.

“Pada tahun 2019, industri perabut telah menyumbang RM9.14 bilion dan pada tahun 2020 RM10.63 bilion.

“Pada tahun 2021 sehingga Jun kita telah mengeksport RM5.58 bilion ke luar negara dan untuk penghujung 2021, kita sasarkan sebanyak Rm12.5 bilion yang mana ia akan menghasilkan sebanyak peningkatan 20 peratus daripada 2020,” katanya ketika menjawab sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.

Oleh yang demikian, pihaknya telah mengenalpasti beberapa lagi negara luar yang akan dieksport perabot keluaran negara disamping empat negara utama iaitu Amerika Syarikat, Jepun, China dan Singapura.

“Kita telah mengenalpasti beberapa negara yang mempunyai memerlukan kayu-kayan tropikal seperti Amerika Utara, Kanada, India dan Timur Tengah.

“Ini adalah pasaran yang kita akan pelopori untuk tingkatkan lagi ekport negara kita,” jawab beliau.

Dalam perkembangan lain, Zuraida turut berkata Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) akan disasarkan kepada golongan B40 dengan keluasan tanah 10 ekar ke bawah untuk tanaman sawit.

Mnejawab pertanyaan lisan pertana Dewan Rakyat hari ini, Zuraida berkata, ia merupakan polisi baharu yang kerajaan sedang rancangkan supaya pekebun-pekebun kecil boleh menguruskan ladang sawit dengan lebih produktif.

“Ketika ini kita ada mempunyai seramai 208, 108 pekebun kecil persendirian dalam negara kita yang merangkumi 895, 267 hektar. Jadi ini merupakan 40 peratus daripada pekebun-pekebun sawit yang terlibat dalam industri sawit ini terdiri daripada pekebun-pekebun kecil.

“Kementerian sedang merancang untuk memperkenalkan polisi untuk memberikan panduan bagaimana mereka boleh menguruskan ladang sawit mereka agar lebih produktif. Jadi oleh kerana itu, kita akan memperkenalkan bantuan bersasar, maknanya kita akan sasarkan kepada golongan B40 dulu yang mempunyai tanah seluas 10 ekar ke bawah.

“Kita akan menyasarkan kepada betul-betul golongan yang memerlukan bantuan iaitu golongan B40 yang mempunyai keluasan tanah sepuluh ekar ke bawah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong yang meminta kerajaan menyatakan sekiranya pihak kementerian bercadang untuk memperkenalkan semula skim TSPKS secara percuma kepada pekebun kecil.

Menurut Zuraida lagi, skim ini juga akan diberi dalam bentuk geran, bukan lagi pinjaman.

“Kita akan membuat formula bagaimana nak membantu dengan memberikan geran, bukan pinjaman lagi. geran kepada golongan B40 yang mengusahakan ladang sawit ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette