Air Selangor scheduled water disruption

KUALA LUMPUR – Sebanyak 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan air berjadual bermula jam 9 pagi, 13 Oktober 2021 ekoran kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 16 Oktober 2021.

Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual adalah seperti berikut:

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, pelaksanaan kerja-kerja ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

Pelaksanaan kerja-kerja ini telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan.

Bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna bermula jam 5 petang, 14 Oktober 2021 secara berperingkat-peringkat setelah kerja-kerja menaiktaraf dan penyenggaraan siap seterusnya sistem agihan bekalan air telah distabilkan.

Menurutnya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Oleh yang demikian, Air Selangor akan menggerakkan sebanyak 105 lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

Air Selangor juga akan menyediakan 18 Pili Air Awam mulai 14 hingga 16 Oktober 2021 untuk kemudahan pelanggan yang memerlukan bekalan air semasa tempoh pemulihan bekalan air.

Bagi pelanggan komersial pula, pembelian air menggunakan lori tangki air masing-masing akan dibuka di empat stesen pengisian air setempat. – MalaysiaGazette