Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad menyampaikan bakul makanan kepada pesara tentera di Kem Tun Razak, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Markas 2 Divisyen akan sentiasa menjadi tonggak memastikan kebajikan pesara tentera terus terpelihara.

Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, inisiatif berkenaan adalah bagi memastikan kebajikan pesara tentera dijaga selain ia juga merupakan keutamaan di peringkat Kementerian Pertahanan.

“Pihak kami akan berusaha penuh membawa permohonan bantuan dan sokongan yang diperlukan pesara ATM di negeri ini ke peringkat lebih tinggi agar ia dapat ditunaikan.

“Jika dibandingkan dengan pengorbanan yang dilakukan perwira negara atas khidmat bakti mereka bantuan ini tidaklah seberapa namun kebajikan anggota kita dijaga sehingga ke liang lahad,” katanya.

Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad (kanan) berbual dengan pesara tentera yang mendapat bakul makanan di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bakul makanan secara pandu lalu kepada kira-kira 40 pesara ATM Daerah Timur Laut di Kem Tun Razak hari ini.

Penerima berkenaan adalah antara sebahagian pesara ATM di daerah ini yang mendapat manfaat menerusi program Mindef Prihatin dan Bantu-Bantu Malaysia selepas ia diperkenalkan pada Julai lalu.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd Amer Salleh, 71, dari Kampung Alor Binjai di sini meluahkan rasa syukur dan berterima kasih berikutan pemberian bantuan bakul makanan.

Mohd Amer yang kehilangan kaki kiri akibat terjatuh tahun lalu antara penerima bakul makanan.

Beliau yang pernah bertugas di Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja berkata, bantuan itu juga dapat mengurangkan kos perbelanjaannya apatah lagi dia kini juga berstatus orang kelainan upaya (OKU).

“Saya berkhidmat dengan ATM selama 13 tahun dan berasa bertuah kerana ATM banyak membantu saya daripada segi kebajikan.

“Sebelum ini, ATM juga membantu mendapatkan kaki palsu bagi memudahkan pergerakan saya selepas kehilangan kaki kiri akibat terjatuh tahun lalu,” katanya.

Program Mindef Prihatin merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan bagi membantu meringankan beban warga pertahanan khususnya mereka yang dikategorikan sebagai asnaf serta B40 yang terjejas dari segi pendapatan isi rumah akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette