Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman hari ini mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan satu sindiket penipuan dalam media sosial di negara ini.

Sindiket itu dikesan menggunakan modus operandi baharu dengan  menggunakan aplikasi WhatsApp dan menyamar sebagai majikan untuk menghubungi dan memperdaya mangsa.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, gambar profil yang digunakan oleh suspek dalam WhatsApp adalah mirip atau hampir sama dengan gambar majikan sebenar mangsa.

“Mangsa yang percaya dan terperangkap dalam pujukan ‘majikan WhatsApp’ kemudiannya akan diarahkan untuk membuat pembelian kad ‘Google Play Gift’ yang boleh dibeli di kedai serbaneka dan menyerahkan maklumat nombor pin kad itu kepada suspek,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Mohd Kamarudin, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu oleh ‘majikan’ dalam WhatsApp selepas mendapati nombor telefon yang digunakan suspek adalah berbeza dengan nombor sebenar milik majikannya.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak dua kes penipuan seumpama telah dikesan polis membabitkan kerugian berjumlah RM30,250.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada apabila menerima sebarang mesej melalui aplikasi WhatsApp atau panggilan daripada nombor yang tidak dikenali serta meragukan.

“Janganlah mudah terpengaruh dengan gambar profil semata-mata sebaliknya perlu membuat semakan teliti dan pengesahan terutamanya terhadap mesej yang melibatkan implikasi kewangan elak terjerat dalam penipuan selepas ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette