Foto Instagram Azmi Saat.

KUALA LUMPUR – Vokalis Caliph Busker, Azmi Saat melahirkan rasa syukur dengan ujian Allah yang ‘mengambil’ semula anak sulungnya walaupun baru berusia tiga hari.

Menerusi Instagram miliknya, dia bersama isterinya, Nazirah Muhammad reda dan sabar dengan apa yang telah ditakdirkan buat mereka.

Malah Azmi, 34, dan isteri berjanji akan kuat dan yakin Allah akan memberikan yang lebih baik pada masa hadapan selain mengharapkan kehadiran cahaya mata kedua.

“Hari ini kami sudah dibenarkan keluar dari hospital walaupun mereka sangat menyarankan untuk kami tinggal di sini beberapa hari lagi sampai isteri benar-benar sihat.

“Kami datang bertiga tapi balik berdua sahaja. Itulah takdir. Sehebat mana pun rancangan kita, sekuat mana pun penjagaan kita, tetap Allah yang Maha Merancang dan pemilik segalanya.

“Kami bersyukur Ya Allah dengan ujian ini. Kami redha dan sabar dengan apa yang kau takdirkan untuk kami.

“Kau sahajalah yang tahu betapa kuat kami mengharungnya. Moga sabar kami tergolong dalam sabar yang cantik. Ganjaranlah kami dengan rahmat dan kebaikanMu di dunia lebih lagi Akhirat.

“Terima kasih @ohanaspecialisthospital. Allah tarik satu tapi Allah gantikan dengan ramainya orang-orang yang super baik dalam hidup kami.

“Itulah keluarga Ohana Specialist. Mereka semua sangat menyangi kami seperti keluarga sendiri. Moga kami tetap berkeluarga sampai ke Syurga.

“Kami akan kuat. Kami yakin Allah akan berikan yang lebih baik. Selamat tinggal Ohana. Nantikan anak kami yang kedua,” tulisnya panjang lebar. – MalaysiaGazette