Polis Cheras berjaya menangkap kesemua individu tyang terlibat dalam rusuhan di hadapan tokong di jalan Sungai Besi selepas pihak tokong kemuka surat kemaafan dan menyerah diri sekitar jam 1.30 pagi semalam.Gambar Ihsan IPD Cheras

KUALA LUMPUR – Polis telah menerima surat permohonan maaf daripada pihak tokong selepas pihaknya mengepung kawasan di Jalan Sungai Besi di sini awal pagi semalam bagi siasatan kes rusuhan yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Yahaya berkata, tujuan pihaknya berbuat demikian bagi tujuan penangkapan susulan ke atas beberapa orang lagi suspek yang dipercayai terlibat.

“Kemudian pada Khamis, jam lebih kurang pukul 1.30 pagi, polis telah mengepung kawasan tokong untuk membuat tangkapan susulan ke atas suspek kes rusuhan itu namun pihak tokong telah menyerah diri serta menyerahkan satu surat permohonan maaf yang ditujukan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, menurut Muhammad Idzam, polis berjaya menangkap kesemua suspek yang terlibat dalam rusuhan pada 28 September lalu yang berpunca daripada salah faham kononnya rumah ibadat berkenaan akan diroboh pihak berkuasa.

Menurutnya, selepas kejadian, polis berjaya menahan empat suspek lelaki tempatan berusia 18 hingga 50 tahun dan mereka direman sehingga semalam untuk membantu siasatan di bawah Seksyen Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sebagai tindakan susulan, pada 29 September pula kira-kira  pukul 8.30 malam, polis menahan dua lagi suspek lelaki tempatan yang berusia 38 dan 56 tahun.

“Oleh yang demikian, polis telah menahan seramai 12 lelaki dan enam lagi wanita yang berusia lebih kurang 18 hingga 84 tahun sekaligus telah berjaya menangkap kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian rusuhan,” katanya.

Polis Cheras berjaya menangkap kesemua individu yang terlibat dalam insiden rusuhan di hadapan tokong di Jalan Sungai Besi selepas pihak tokong kemuka surat kemaafan dan menyerah diri selepas premis itu dikepong polis sekitar jam 1.30 pagi semalam.Gambar Ihsan IPD Cheras

Tambah Muhammad Idzam, polis bagaimanapun telah membebaskan dua suspek dengan jaminan polis atas faktor usia mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Manakala, katanya, permohonan reman ke atas 18 orang suspek lagi telah dibuat pada 30 September lalu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan seramai 10 suspek telah direman selama sehari bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan yang lengkap telah dikemukakan kepada Timbalan pendakwa Raya pada hari ini (Jumaat) dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, pertambahan pertuduhan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021 telah turut dicadangkan memandangkan kesemua saspek telah melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan iaitu berkumpul beramai-ramai di tempat awam,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam berhubung kes yang sama.

Beliau turut menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut sambil mengharapkan ia dapat menangkis tanggapan netizen yang memberikan komen negatif mengenai insiden itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan isu ini diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Mohamad Sukri Bin Ishak di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Pada kejadian 28 September lalu, lebih kurang pukul 11.45 pagi, satu operasi telah dijalankan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG)  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur  untuk membina pagar penghadang bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah yang terletak di belakang tokong tersebut.

Dalam operasi tersebut, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

Pada jam 2.14 petang, polis mendapati kejadian rusuhan bermula apabila wakil daripada pihak tokong tidak berpuas hati berkenaan perbincangan yang diadakan oleh pihak PTG bersama mereka.

Kumpulan itu terdiri lebih kurang seramai 20 hingga 30 lelaki dan wanita berbangsa Cina yang berusia lebih kurang 18 hingga 60 tahun.

Mereka telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak menggunakan kayu serta menyerang anggota polis yang bertugas sebelum polis berjaya meleraikan rusuhan tersebut kira-kira pukul 2.30 petang.-MalaysiaGazette