Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Gambar hiasan

KUANTAN – Kerajaan Pahang bersetuju untuk mewartakan tambahan 780.94 hektar hutan sebagai hutan tadahan air di negeri itu menjadikan keseluruhannya kini seluas 343,503.35 hektar.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pewartaan tersebut maka tiada sebarang aktiviti pengusahahasilan boleh dilakukan di dalam kawasan disifatkan sebagai sensitif alam sekitar.

Keputusan dibuat melalui  mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ia melibatkan 443.73 hektar dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Berkelah di Maran, dan 337.21 hektar dalam HSK Lepar, di Kuantan.

“Bagi HSK Berkelah, 443.73 hektar ini merupakan tambahan kepada 2,134 hektar Hutan Tadahan Air sedia ada, menjadikan keseluruhan 2,577.73 hektar Hutan Tadahan Air dalam HSK ini.

“Manakala HSK Lepar pula, ini pertama kali kawasan Hutan Tadahan Air seluas 337.21 hektar bakal diwartakan.

“Secara amnya, kedua-dua HSK Berkelah dan Lepar adalah berkeluasan 62,749.45 hektar iaitu HSK Berkelah seluas 40,502.05 hektar dan HSK Lepar seluas 22,247 hektar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Wan Rosdy, jumlah keluasan HSK di seluruh negeri Pahang Darul Makmur pula ialah 1.59 juta hektar.

Beliau berharap dengan penambahan kawasan diwartakan sebagai hutan tadahan air akan dapat terus memelihara dan menjamin kelestarian alam sekitar negeri berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast