Mohd Sahaimi Zainal, berrsyuku kepada sokongan masyarakat kepada pembangunan insan orang Asli di Kg. Simpai, Pekan

PEKAN – Seramai 30 keluarga Perkampungan Orang Asli Kampung Simpai, Pekan menerima bantuan bakul makanan berupa makanan keperluan asas daripada Malaysia Relief Agency (MRA) Pahang.

Mohd Sahaimi Zainal, 47 tahun, mewakili penerima golongan orang Asli berkata, sumbangan ini bukan kali pertama diterima penduduk yang terputus pendapatan sejak perintah Kawalan Pergerakan Dipeketatkan (PKP).

Malahan katanya, sejak PKP bermula 18 Mac tahun lalu sehingga Pahang mamasukkan di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), sumbangan bantuan bakul makanan dan kit kebersihan sentiasa diterima oleh penduduk kampung.

“Sumbangan dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan di kampung ini dan pihak kami telah menyenarai mereka yang layak menerima sumbangan.

“Semoga ramai lagi masyarakat di luar sana membantu penduduk di sini dan sumbangan dapat diteruskan.

“Terima kasih kepada MRA Pahang kerana sentiasa membantu masyarakat orang Asli di kampung-kampung orang Asli yang berhampiran,” katanya.

Tambah Sahaimi, hampir 600 penduduk Kampung Orang Asli di Simpai dan akan agihkan mengikut keperluan masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi MRA Pahang, Mahadi Deraman berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengenalpasti mereka yang terkesan di Pahang.

Sehingga kini sebanyak RM400,000 telah diperuntukkan dalam kerja kemanusiaan di negeri ini dan terkini pihaknya sahaja menerima barangan sumbangan dari UAE untuk diagihkan.

“Pelbagai golongan kami dekati bukan sahaja masyarakat orang Asli, golongan asnaf dan miskin, orang kurang upaya, termasuk warga Rohingya.

“Barangan asas berupa beras, minyak, gula, tepung, kicap, mee segera, garam, biskut, gula dan kit kebersihan seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman diedarkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette