KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pengurus pusat intervensi selepas disyaki memukul seorang kanak-kanak autisme dalam satu kejadian di Bandar Baru Ampang, Ampang pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, berdasarkan laporan, seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang juga bapa kepada kanak-kanak itu telah menghantar anaknya ke pusat berkenaan sekitar pukul 8.45 pagi.

Menurut beliau, bapa kanak-kanak berusia enam tahun sembilan bulan itu kemudian menjemput anaknya pulang pada pukul 12.45 tengah hari dan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan kedua-dua belah mata.

“Salah seorang guru di pusat berkenaan memaklumkan kepada pengadu bahawa ada kesan kemerahan pada tepi dahi kiri anaknya dan mendakwa mangsa telah menghantukkan kepala pada meja atas alasan tidak mahu makan.

“Akibat curiga, pengadu telah melihat rakaman litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan mendapati suspek bertindak agak kasar apabila mangsa mengelak untuk makan.

“Pengadu juga ada bertanya kepada anaknya mengenai situasi yang berlaku namun tiada jawapan dari mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, mangsa telah dihantar ke pusat berkenaan sejak lapan bulan yang lalu.

Kata beliau, suspek yang merupakan wanita warga asing berusia 51 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah di pekarangan Pejabat Siasatan Seksual Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya sekitar pukul 1.50 pagi, semalam.

Pas lawatan suspek juga disyaki telah tamat tempoh lebih setahun yang lalu.

Jelas beliau, suspek yang merupakan majikan turut menggaji tiga pekerja tempatan di pusat berkenaan.

“Terdapat tujuh pelajar termasuk mangsa yang berstatus orang kurang upaya iaitu autisme di pusat itu.

“Ketika kejadian terdapat enam kanak-kanak bersama tiga orang pengasuh,” ujarnya.

Tambah Mohamad Farouk, berdasarkan siasatan, pusat berkenaan telah beroperasi selama tujuh tahun dan semakan awal yang dibuat mendapati status lesen juga tamat tempoh dua bulan lalu.

“Ini merupakan kejadian pertama yang berlaku di pusat tersebut dan suspek kini ditahan reman sehingga Selasa ini,” katanya.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1952.

Terdahulu tular di laman Facebook memaparkan beberapa keping gambar kanak-kanak berserta laporan polis dipercayai dimuat naik oleh bapa mangsa susulan kecederaan yang dialami anaknya.

Berdasarkan kenyataan itu, bapa mangsa juga telah membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan, selain akan mengambil tindakan undang-undang.

“Kami kesal untuk mengetahui daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bahawa pusat ini tidak mendapat kelulusan dan lesen dari JKM, mereka beroperasi secara tidak sah selain pelatih serta guru tidak mempunyai lesen dan kelayakan dalam mengajar anak-anak autisme.

“Apa yang saya tidak dapat terima apabila saya meminta justifikasi dari pihak mereka, saya telah diminta antara lain untuk menerima ketentuan Ilahi.

“Saya tidak dapat terima tindakan mereka dan terpaksa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pusat tersebut. Kanak- kanak ini adalah istimewa dan sekiranya mereka dilayan dengan sebegini rupa, saya tertanya- tanya manakah nilai belas didalam diri dan jiwa mereka ini,” katanya. – MalaysiaGazette